Sunday, June 29, 2008

74 murid SK Sungai Kechil Hilir keracunan makanan



74 murid SK Sungai Kechil Hilir keracunan makanan

NIBONG TEBAL 27 Jun - Seramai 74 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Hilir, Bandar Baharu, Kedah, keracunan selepas makan di kantin sekolah tersebut.

Kesemua murid yang merupakan pelajar tahun dua hingga enam kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap (HSB).

Pengarah HSB, Dr. Makhtar Mohamed berkata, murid-murid itu tiba di hospital kira-kira pukul 12.20 tengah hari dan mendapat rawatan pesakit luar.

''Sebahagian daripada mereka mengalami cirit birit dan muntah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini kelmarin.

Seorang mangsa, Nurarashyima Sharinependi, 9, berkata, dia sakit perut selepas waktu rehat dan muntah.

''Saya tidak tahu kawan-kawan yang lain, sebab ada kawan yang makan nasi ayam, nasi goreng dan laksa serta minum air kosong dan air soda, tetapi saya hanya makan nasi ayam," katanya ketika ditemui pemberita di HSB.

Seorang lagi pelajar, Siti Nabilah Afiqah Mohd. Sani, 12, pula memberitahu, dia hanya makan laksa.

''Kuah laksa itu berlendir, sejurus itu perut saya sakit," katanya.

Mohd. Faris Fauzi, 11, pula memberitahu, selepas dimaklumkan kepada guru mengenai keadaan itu mereka dibawa ke hospital.

''Saya makan nasi putih dengan ikan bilis yang berasa agak pedas serta minum air kosong," katanya.