Thursday, February 19, 2009

Bimbing bekas penagih kenal HIV/Aids

Bimbing bekas penagih kenal HIV/Aids

BANDAR BAHARU - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Bandar Baharu mengambil satu inisiatif menganjurkan satu program menyebarkan maklumat mengenai HIV dan Aids dalam kalangan bekas penagih dan keluarga mereka di kawasan ini.

Program yang dikenali sebagai ‘Kesihatan Menjana Kepulihan’ itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah yang turut mengadakan ceramah dan sesi soal jawab bersama bekas penagih dan beberapa waris mereka berkisarkan kefahaman mengenai penyakit HIV dan Aids.

Ketua AADK Daerah, Abd Rahim Mohd Salleh berkata antara objektif utama program ini dianjurkan adalah bagi memberi kesedaran kepada penagih mengenai hubung kait penagihan dadah dan penyakit HIV/ Aids.

Katanya, walaupun bekas penagih yang masih di bawah pemantauan merupakan sasaran utama program ini, tetapi waris dan ahli keluarga juga turut dijemput menyertai program berkenaan yang diadakan di pejabat AADK Bandar Baharu.

“Kita mengadakan beberapa slot untuk program selama setengah hari ini yang mana ia membabitkan penyertaan kakitangan Kesihatan dan AADK dalam memberi bimbingan kepada lebih 100 bekas penagih yang berada di bawah pengawasan di sini.

“Bagi mendedahkan lagi mereka dengan maklumat perkaitan penyakit HIV dan Aids dengan aktiviti penagihan dadah, turut diadakan satu slot ceramah oleh Pakar Perubatan Keluarga dari Pejabat Kesihatan Daerah, Dr Afidin Basir,” katanya.

Bagi melengkapkan lagi pemahaman peserta program, sesi soal jawab bersama pakar perubatan juga turut diadakan yang mana bekas penagih juga diberi peluang mengajukan soalan mengenai penagihan dan penyakit HIV/Aids.

Abd Rahim berkata, ujian saringan HIV tanpa nama juga turut diadakan bagi mereka yang ingin menjalaninya secara sukarela sebagai satu langkah pengesanan awal.

Katanya, ia lebih kepada satu langkah awal yang diambil bagi bekas penagih yang masih di bawah pengawasan ini mengesan kemungkinan jangkitan tersebut pada diri mereka.

“ Seramai 65 orang menjalani ujian saringan HIV ini pada hari ini, walaupun ada antara mereka yang masih takut-takut untuk menjalaninya tetapi tiada yang didapati positif hasil ujian itu.

“Pihak kesihatan turut menjalankan ujian saringan tibi ke atas mereka bagi mengesan kemungkinan terdapat penyakit itu pula pada diri mereka,” katanya.

Menurutnya, kerjasama yang ditunjukkan bekas penagih terhadap program anjuran bersama ini amat menggalakkan, malah penyertaan mereka juga amat bermanfaat untuk diri sendiri.

Katanya, program yang diusahakan enaga AADK dan Pejabat Kesihatan Daerah ini juga seharusnya diberi pujian, kerana secara tidak langsung ia dapat membantu proses pemulihan bekas penagih yang terdapat di kawasan ini.