Monday, August 3, 2009

KABAR BUAT BANDAR BHARU

Salam 2 all.

Pertama saya ingin menyampaikan berita baik kepada penduduk Kg. Bagan Samak, Bandar Bharu. Semasa kempen pilihanraya lalu isu ketiadaan lampu jalan masuk ke kampung telah dibangkitkan. Pada masa itu saya telah menjanjikan untuk memberi keutamaan pada masalah tersebut.

Setelah beberapa kali dibangkitkan di pelbagai peringkat, akhirnya dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah 28 Julai lepas, kelulusan telah diberikan untuk pemasangan 5 tiang lampu jalan ke Kg. Bagan Samak. Saya harap pemasangan tersebut akan dibuat secepat yang boleh.

Bagi tindakan susulan berkaitan pemasangan, saya telah memaklumkan Ketua Kampung MKK Bagan Samak Sdr. Ah Huat supaya dapat menghubungi Setiausaha Khas Ahli Parlimen Puan Roslijah.

Saya juga telah membangkitkan isu ketiadaan perkhidmatan bas dari Bandar Bharu-Relau melalui Kg. Permatang Pasir. Sukacita dimaklumkan bahawa isu ini akan dibawa ke makluman pihak MARA Liner untuk tindakan selanjutnya.

Begitu juga isu kekurangan benih udang galah di kawasan Sg. Kerian. Insyallah pihak Jabatan Pertanian akan mengambil tindakan susulan mengenai masalah tersebut.

Berkaitan masalah ketiadaan wakil pos/ pejabat pos mini, saya sebenarnya telah membangkitkan isu ini sejak tahun lepas lagi di Parlimen.

Saya dimaklumkan bahawa masalah yang timbul ialah ketiadaan pemohon untuk dilantik menjadi wakil pos atau membuka pos mini berkomputer bagi menggantikan wakil pos yang telah menamatkan perkhidmatannya.

Oleh itu saya menyeru kepada mana-mana pihak yang berminat, silalah buat permohonan dimana-mana pejabat pos yang berdekatan (ada satu di Serdang) untuk menjadi wakil pos atau pejabat pos mini berkomputer.

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah atas pemergian seorang tokoh tempatan iaitu Allahyarham Tuan Haji Ibrahim daripada Kg. Sg. Salleh. Saya mendoakan moga Allahyarham diletakkan dalam golongan yang soleh dan diberi keampunan dan keredhoan oleh ALLAH. Moga keluarga Allahyarham diberi kesabaran menghadapi ujian yang berat ini.

Saya juga sedang berbincang dengan beberapa pihak yang berkaitan untuk mengadakan satu Forum Perdana besar-besaran di kawasan Masjid Bandar Bharu. Insyallah jika tiada aral program tersebut akan dapat diadakan. Saya akan memaklumkan sebaik sahaja mendapat kelulusan untuk program tersebut.

Saya juga mengambil kesempatan untuk meminta mana-mana poihak supaya dapat menyalurkan maklumat, aduan, atau apa juga cadangan atau permasaalahn yang boleh saya bawa ke tengah. Sila hubungi saya ataupun menulis kepada saya samada secara terus atau melalui pegawai-pegawai khas saya ataupun melalui MKK yang berkaitan.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
(Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu)
Ahad
11 Sya'ban 1430
02 Ogos 2009