Thursday, November 12, 2009

Dua pemain sahkan sertai Kedah


Dua pemain sahkan sertai Kedah

ALOR SETAR - Dua pemain yang diintai pasukan Hijau Kuning telah menyatakan persetujuan untuk menyertai pasukan itu dalam saingan Liga, musim depan.

Ketua Jurulatih Kedah, Ahmad Yusoff bagaimanapun berkata, identiti dua pemain itu masih dirahsiakan kerana belum menandatangani kontrak perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Kedua-dua pemain itu adalah pemain bahagian serangan dan tengah, mereka hanya menyatakan persetujuan mulut dan rundingan masih berjalan,” katanya.

Menurutnya, beberapa pemain lain masih diintai dan belum menyatakan persetujuan, namun daripada maklum balas, mereka seakan berminat untuk menyertai pasukan Sang Kenari.

Ahmad berkata, sejak seminggu lalu, pasukan Kedah telah pun memulakan latihan bagi memulihkan semangat pemain, termasuk meningkatkan keserasian memandangkan pasukan itu baru sahaja bertukar jurulatih.

“Pasukan ini turut menyertai bengkel bina semangat yang diadakan di Sintok selama dua hari, minggu lalu. Mereka didedahkan dengan aspek kerohanian, fizikal dan mental bagi mengembalikan semangat untuk bangkit semula dan terus berjuang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita pada musim depan,” katanya.

Mengulas mengenai sesi latihan yang dijalankan, Ahmad berkata, buat masa ini pemain didedahkan dengan latihan persendirian bagi melihat tahap kecergasan masing-masing, sebelum beralih kepada latihan taktikal.

“Kita mahu beri tumpuan kepada individu terlebih dahulu sebelum fokus kepada pasukan. Kita mahu cungkil bakat mereka sehingga ke akar umbi supaya menyerlah ketika beraksi di padang. Setakat ini, saya lihat pemain amat berkebolehan cuma perlu diberi pendedahan dan digilap,” katanya.

Menurutnya, pemain kini tampak lebih bersemangat untuk meneruskan saingan dan mahu merampas semula kejuaraan berganda, seperti yang dicapai sebelum ini.

No comments: