Saturday, March 15, 2008

Projek kuari tanah merah Bukit Palang: Penduduk buat laporan BPR


Projek kuari tanah merah Bukit Palang: Penduduk buat laporan BPR
Mohd Sabri Said Wed Jan 30, 08 11:20:33 am MYT



SERDANG, KEDAH, 30 Jan (Hrkh) - Penduduk Kampung Padang, Sungai Kechil Ilir, Bandar Baharu, Kedah mendesak Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sungai Petani menyiasat bagaimana kebenaran diperolehi oleh Pegawai Tadbir Tanah Kulim Bandar Baharu sehingga membolehkan pengusaha kuari tanah merah di Bukit Palang dilaksanakan sedangkan jawapan dari Ketua Cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Cawangan Kulim, Mohd Helmi Ahmad mendakwa aktiviti pengorekan tanah yang dijalankan di situ tidak sesuai.
-->
Semuanya terbukti semasa pertemuan antara penduduk dan pegawai berkenaan pada 23 Disember 2007. Manakala surat daripada JAS dikeluarkan pada 15 Januari 2008.
Aktivis masyarakat, Dr. Abdullah Muda ketika mengetuai rombongan ke BPR semalam berkata, pandangan JAS itu membuktikan mereka baru mengetahui isu ini apabila meminta dipanjangkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu sebagai tindakan lanjut mengikut mana-mana peruntukan di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah.
Jika JAS baru tahu hal ini sambungnya, bagaimana boleh seorang pegawai yang bertanggungjawab terhadap daerah di sini memberitahu projek berkenaan telah diluluskan pada 2003 lagi dan permit mengeluarkan tanah dibolehkan pada Januari 2008.
"JAS sendiri hairan macam mana isu ini boleh terjadi sedangkan pihaknya juga wajar menilai adakah ia mendapatkan kesan pada manusia atau eko sistem alam sekitar," jelasnya.
Selain BPR seorang penduduk, Abu Rahim Embi membuat lapuran polis di Balai Polis Serdang pada 28 Januari lepas.
Harakadaily pada hujung Disember 2007 telah mendedahkan kewujudan kegiatan kuari tanah merah secara haram di Bukit Palang, Kampung Padang.
Ia diusahakan oleh seorang taukeh Cina kononya untuk projek kerajaan di sekitar Nibung Tebal dan selatan Kedah.
Kesan kuari itu nanti akan mencemarkan sungai yang selama ini menjadi sumber utama penduduk sekitar untuk minum dan kegunaan tanaman.
Sementara itu, dalam surat daripada Setiausaha Projek Pemulihan Dusun Kampung Padang dan Sungai Buaya, Abdul Halim Mat Isa yang ditujukan kepada 12 agensi kerajaan termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Kechil Ilir, Menteri Besar Kedah dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menceritakan kebimbangan penduduk antaranya penghakisan tanah pasti berlaku sehingga menjejaskan pengaliran air sungai yang digunakan oleh penduduk untuk tujuan menyiram sayuran dan penternak kambing komesial.
Kualiti udara juga turut tercemar kerana laluan lori ekoran aktiviti muat dan gali tanah tersebut.
Jalan raya dan jalan ladang akan rosak kerana kenderaan berat bahkan membahayakan kepada perjalan kaki terutamanya kanak-kanak sekolah yang berbasikal.
Banjir lumpur juga dikhuatiri berlaku terhadap penduduk tepi sungai dan di kawasan tanah rendah sekali gus memusnahkan tanaman sayuran dan buah-buahan.
Hadir sama semasa membuat laporan BPR itu ialah Pengerusi Badan Bertindak Kuari Kampung Padang, Mohd Yusuf Ahmad dan dua orang Jawatankuasa Bertindak Wan Teh Abu Bakar serta Abu Rahim Embi. - mns

No comments: