Friday, May 29, 2009

Gotong-royong elak vektor penyakit

BANDAR BAHARU - Penduduk yang tinggal di kawasan kampung terutamanya di luar bandar digesa membantu memelihara kebersihan kawasan kediaman mereka sekali gus menghalang pembiakan vektor yang menyebabkan penyakit denggi dan Chikungunya.

Pegawai Kesihatan Daerah Bandar Baharu, Dr Norsilah Sudin berkata, Pejabat Kesihatan Daerah hanya berperanan memberi maklumat dan kesedaran mengenai faktor membantu pembiakan vektor seperti nyamuk yang menyumbang kepada penyakit tersebut.

Bagaimanapun katanya, kesedaran sebenar perlu wujud dalam diri setiap individu dan keluarga yang mendiami sesebuah kawasan itu.

“Melalui Pejabat Kesihatan, kita berperanan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menjaga kebersihan persekitaran mereka selain langkah pencegahan kepada penduduk di sekitar daerah ini.

“Ini kerana kebelakangan ini kita dapati bilangan kes denggi dan Chikungunya yang berlaku di sekitar daerah Bandar Baharu masih ada dan agak tinggi di mana kita perlu wujudkan kerjasama dengan anggota masyarakat dalam menangani masalah ini,” katanya ketika berucap pada majlis gotong-royong di Kampung Keda Sungai Buloh, di sini.

Dr Norsilah berkata, untuk tujuan itu, program gotong -royong seperti yang dilakukan oleh penduduk Kampung dan Keda Sungai Buloh amat dihargai dalam usaha membersihkan kawasan yang berisiko menjadi pembiakan vektor.

Katanya, setakat ini terdapat sebanyak tujuh kes yang dilaporkan di daerah ini membabitkan penyakit demam denggi dan Chikungunya dan bilangan individu yang disyaki ramai.

“Oleh itu, gotong-royong hari ini turut membabitkan warga Pejabat Kesihatan dalam usaha menyampaikan maklumat mengenai faktor dan kawasan pembiakan vektor denggi dan Chikungunya di sini.

“Selain kerja pembersihan, penduduk juga dapat berkongsi maklumat mengenai cara atau langkah pencegahan yang boleh dilakukan bagi mengelakkan terjadinya denggi dan Chikungunya di tempat mereka,” katanya.

No comments: