Friday, May 8, 2009

Tiga tahun tinggal di pondok kecil


BANDAR BAHARU - Seorang warga emas, terpaksa tinggal di pondok buruknya sejak tiga tahun lalu setelah rumah pusaka tinggalan arwah ibu bapanya runtuh di Kampung Bukit Buluh, Sungai Hitam Dalam, di sini.

Jamilah Ali Hassan, 65, yang mengalami masalah pertuturan sejak kecil, tinggal di pondok kecil berkenaan seorang diri tanpa ditemani oleh saudara-mara.

Dia yang tidak pernah berkahwin, sebelum ini tinggal di rumah pusaka arwah ibu dan ayahnya seorang diri setelah kematian kedua orang tuanya.

Akibat masalah pertuturan beliau yang sukar difahami Sinar Harian terpaksa mendapatkan bantuan seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pusat (JKKKP) untuk menceritakan keadaan Jamilah.

Sabaruddin Napiah berkata, Jamilah mempunyai seorang saudara kandung yang tinggal berhampiran rumahnya, namun oleh kerana kehidupan keluarga abangnya itu juga susah, maka dia mengambil keputusan menetap seorang diri di pondok kecil berkenaan.

Menurutnya, rumah kayu pusaka yang didiami Jamilah, sudah terlalu uzur dan reput hingga akhirnya runtuh dengan sendiri tiga tahun lalu.

“Sebelum pilihan raya lalu, ada pihak yang tampil dan berjanji ingin membina sebuah rumah untuk Jamilah, dan ketika itu, pihak berkenaan sudah menunjukkan usaha membina rumah dengan meletakkan batu-bata di tapak rumah lamanya.

“Namun apa yang menyedihkan, janji tinggal janji, apabila pembinaan rumah untuk warga emas ini tidak menjadi kenyataan di mana hanya batu bata dan tiang sahaja yang dibina, itu pun separuh,” katanya.

Sejak itu, Jamilah terus tinggal di pondok kecil miliknya dengan tidur beralaskan tikar getah dan lampu minyak tanah setiap malam. Malah pondok itu juga menjadi tempat Jamilah berteduh dari hujan panas.

Jamilah mengalami masalah pertuturan, buta huruf dan tidak pernah bersekolah ini, telah menerima bantuan wang bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, dengan kehidupannya sekarang, dia lebih memerlukan sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk dijadikan tempat berteduh.

Katanya, beliau hanya mahukan sebuah rumah atau rumah yang kononnya dibina untuknya di tapak rumah lama itu disiapkan.

No comments: