Showing posts with label Nibong Tebal. Show all posts
Showing posts with label Nibong Tebal. Show all posts

Saturday, April 11, 2009

Dua lelaki tak sempat belanja hasil barang curi



NIBONG TEBAL: Dua penyamun amatur yang menjalankan kegiatan mencuri barangan berharga dalam kereta tidak sempat menikmati hasil curi apabila dicekup selepas melakukan jenayah itu terhadap sebuah Proton Waja di pekan ini.

Suspek berusia 21 tahun dari Kepala Batas dan 28 tahun dari Bukit Mertajam dicekup sepasukan polis kira-kira jam 11.45 pagi pada 4 April lalu di Jalan Bukit Panchor, dekat sini, ketika menunggang motosikal Yamaha 125Z dalam usaha melarikan diri selepas menyamun.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata, taktik digunakan suspek ialah pembonceng memecahkan cermin sebelah pemandu dengan objek tajam dan mengambil barang berharga sebelum rakannya memecut meninggalkan tempat kejadian.

Katanya, dengan penangkapan itu, pihaknya merampas cek tunai bernilai RM15,000, rantai emas, wang tunai RM1,500, buku akaun, telefon bimbit, jam tangan, kunci induk bentuk ‘T’ buatan sendiri serta peralatan pecah rumah.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis dapat menyelesaikan tiga kes mencuri barang dalam kereta dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum itu, pada 3 April lalu, seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah mencuri kereta ditahan jam 4.40 petang di Kampung Valdor, Sungai Bakap di sini.

Menurut Shafien, suspek berusia 32 tahun dari Klang, Selangor berpura-pura hendak membaiki kereta dengan membawa kereta curi ke bengkel sebelum meminjam kereta pemilik bengkel kononnya kerana mempunyai urusan.

Bagaimanapun katanya, suspek melarikan kereta yang dipinjamkan pemilik bengkel berkenaan.

“Susulan penahanan suspek, polis turut merampas Toyota Avanza yang dilaporkan dicuri dan siasatan mendapati suspek mempunyai 12 lagi rekod jenayah dan dikehendaki bagi menyelesaikan kes curi kereta di Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

“Suspek bergerak secara solo dan penahanannya dapat menyelesaikan dua kes curi kereta di Nibong Tebal yang kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan membawa hukuman denda dan penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

P/S: Zaman gawat camni kes jenayah berleluasa, berjati-hati.

Thursday, April 2, 2009

Kecewa diberhentikan tanpa notis

SUNGAI DURI – Seramai 18 pekerja kilang memproses kelapa sawit mengadakan piket bantahan secara aman di hadapan kilang berkenaan kerana mendakwa dibuang kerja tanpa diberi notis terlebih dahulu selain tidak menerima sebarang pampasan.

Pekerja, Ishak Saud, 66, berkata, dia yang sudah bekerja di kilang berkenaan hampir 25 tahun lalu kesal dengan tindakan majikan yang memberhentikannya tanpa ada perbincangan bersama.

Menurutnya, ia ibarat ‘kacang lupakan kulit’ kerana jasa pekerja yang sudah berpuluh tahun berkhidmat dikatakan dilupakan.

“Pihak majikan sangat kejam kepada kami kerana langsung tidak menghargai jasa yang telah kami berikan selama ini kerana rata-rata pekerja di sini telah bekerja di kilang ini lebih daripada 10 tahun.

“Bukan sahaja tidak mengadakan perbincangan bersama tetapi bayaran pampasan kerana memberhentikan kerja serta merta tanpa sebarang alasan munasabah juga tidak boleh diterima kerana ia memberi kesan kepada kami dari pelbagai aspek terutamanya pendapatan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan piket di hadapan kilang di sini, semalam.

Seorang lagi pekerja, Vajalingan Muniandy, 54, berkata, dia bimbang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarganya dan meneruskan persekolahan anaknya selepas dibuang kerja.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sumber kewangan lain selain bekerja di kilang tersebut dengan pendapatan RM600.

“Saya sangat sedih dan masih terkejut apabila diberhentikan tanpa sebab yang munasabah dan notis daripada pihak majikan.

“Diharapkan pihak majikan bertanggungjawab dan sekiranya mahu memberhentikan kami seharusnya mereka memberikan pampasan yang setimpal dan mengikut undang-undang yang telah gariskan,” katanya.

Vajalingan berkata, dia yang tidak berpuas hati kemudiannya datang ke kilang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berhubung pemberhentian tersebut.

“Amat mendukacitakan apabila pihak majikan tidak mahu menemui kami bagi menyelesaikan masalah ini secara baik,” katanya.

Sehubungan itu, 18 pekerja dari kilang berkenaan membuat laporan polis berhubung pemberhentian kerja mereka di Balai Polis Nibong Tebal di sini Isnin lalu.

Pekerja kilang berkenaan diberikan notis Selasa lalu yang mana mengarahkan agar mereka tidak perlu hadir bekerja bermula 1 April (semalam).