Thursday, April 2, 2009

Kecewa diberhentikan tanpa notis

SUNGAI DURI – Seramai 18 pekerja kilang memproses kelapa sawit mengadakan piket bantahan secara aman di hadapan kilang berkenaan kerana mendakwa dibuang kerja tanpa diberi notis terlebih dahulu selain tidak menerima sebarang pampasan.

Pekerja, Ishak Saud, 66, berkata, dia yang sudah bekerja di kilang berkenaan hampir 25 tahun lalu kesal dengan tindakan majikan yang memberhentikannya tanpa ada perbincangan bersama.

Menurutnya, ia ibarat ‘kacang lupakan kulit’ kerana jasa pekerja yang sudah berpuluh tahun berkhidmat dikatakan dilupakan.

“Pihak majikan sangat kejam kepada kami kerana langsung tidak menghargai jasa yang telah kami berikan selama ini kerana rata-rata pekerja di sini telah bekerja di kilang ini lebih daripada 10 tahun.

“Bukan sahaja tidak mengadakan perbincangan bersama tetapi bayaran pampasan kerana memberhentikan kerja serta merta tanpa sebarang alasan munasabah juga tidak boleh diterima kerana ia memberi kesan kepada kami dari pelbagai aspek terutamanya pendapatan keluarga,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan piket di hadapan kilang di sini, semalam.

Seorang lagi pekerja, Vajalingan Muniandy, 54, berkata, dia bimbang tidak dapat menampung perbelanjaan keluarganya dan meneruskan persekolahan anaknya selepas dibuang kerja.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sumber kewangan lain selain bekerja di kilang tersebut dengan pendapatan RM600.

“Saya sangat sedih dan masih terkejut apabila diberhentikan tanpa sebab yang munasabah dan notis daripada pihak majikan.

“Diharapkan pihak majikan bertanggungjawab dan sekiranya mahu memberhentikan kami seharusnya mereka memberikan pampasan yang setimpal dan mengikut undang-undang yang telah gariskan,” katanya.

Vajalingan berkata, dia yang tidak berpuas hati kemudiannya datang ke kilang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berhubung pemberhentian tersebut.

“Amat mendukacitakan apabila pihak majikan tidak mahu menemui kami bagi menyelesaikan masalah ini secara baik,” katanya.

Sehubungan itu, 18 pekerja dari kilang berkenaan membuat laporan polis berhubung pemberhentian kerja mereka di Balai Polis Nibong Tebal di sini Isnin lalu.

Pekerja kilang berkenaan diberikan notis Selasa lalu yang mana mengarahkan agar mereka tidak perlu hadir bekerja bermula 1 April (semalam).

No comments: