Thursday, April 9, 2009

Titi gantung hubung Perak-Kedah usang


BANDAR BAHARU - Titi gantung berusia lebih 20 tahun di Rantau Panjang, di sini yang sudah terlalu usang serta mengundang bahaya menyebabkan penduduk kampung terpaksa mengadakan gotong royong membaikinya.

Titi gantung yang dibina merentasi Sungai Kerian itu menjadi laluan utama menghubungkan penduduk di dua buah kampung dari dua buah negeri iaitu Perak dan Kedah.

Ketua Kampung Rantau Panjang, Wan Mat Che Mey berkata, titi berkenaan sudah terlalu usang, malah binaan titi dari kayu dan papan itu juga sudah rosak dan perlu diganti.

Menurutnya, titi sepanjang 300 meter berkenaan menjadi laluan hubungan utama penduduk dari Kampung Rantau Panjang dan sekitarnya untuk ke Pekan Batu 7, Perak.

“Keadaan titi yang rosak dan berlubang menyebabkan risiko kemalangan kepada pengguna laluan ini di mana terdapat antara pengguna yang cedera apabila terpijak papan titi yang reput dan berlubang.

“Bagaimanapun pengguna dari kedua -dua kampung ini tidak mempunyai laluan alternatif lain apabila titi ini digunakan sejak dahulu lagi bagi mengangkut hasil kebun penduduk dari kedua-dua kawasan,” katanya.

Wan Mat berkata, melihat tiada inisiatif yang diambil oleh mana-mana pihak berkenaan dalam usaha memperbaiki titi itu, penduduk mengambil pendekatan mengutip dana bagi memperbaiki titi berkenaan.

Katanya, dengan dana sumbangan penduduk dan sebahagiannya dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Yaakob Husin, gotong-royong memperbaiki titi berkenaan berjaya dilaksanakan secara berperingkat.

“Kami menggunakan batang pinang dan kayu bagi membina semula struktur titi yang sudah usang ini untuk kegunaan penduduk buat sementara waktu.

“Bagaimanapun dengan dana yang terhad kami masih memerlukan perhatian dari pihak yang berkenaan bagi meninjau dan mengkaji semula pembaikan bagi menggantikan titi ini,” katanya.

p/s: Kat mana entah tempat ni. Mungkin dekat area Selama Kedah rasanya.

No comments: