Tuesday, April 21, 2009

Tokoh: Prof. Dr. Ismail Sahid



Profesor Dr. Ismail Sahid dilahirkan pada 5 Oktober 1951 di Kampong Besar, Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan. Beliau memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Nibong Tebal dan selepas itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Buntar, Perak sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malysia (1964-1968). Kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di Kolej Islam Malaya Petaling Jaya sehingga peringkat Sijil Tinggi Persekolahan pada 1969-1970. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia dan dianugerahkan Sarjana Muda Sains pada tahun 1975. Selepas itu beliau dilantik sebagai tutor di Jabatan Biologi, Universiti Kebangsaan Malaysia mulai April 1975 dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke University of Sheffield dan menamatkan pengajian di peringkat PhD dalam bulan Oktober 1978. Bidang penyelidikan beliau di peringkat PhD melibatkan kajian penguraian herbisid dalam tanah.

Profesor Ismail dilantik sebagai pensyarah di Unit Botani UKM pada November 1978, ke jawatan Profesor Madya pada 1984 dan ke jawatan Profesor pada 1993. Jawatan Ketua Jabatan Botani disandang pada 1984-1986 dan dilantik semula mulai 1994.

Pada masa ini Profesor Ismail terlibat dalam penyelidikan berkaitan impak penggunaan herbisid ke atas mikrob tanah dan ekosistem pertanian amnya. Beliau merupakan Ketua Program IRPA dalam bidang berkaitan dan menerima geran penyelidikan dari MPKSN mulai 1979 hingga 1995.

Profesor Ismail aktif dalam penulisan dan telah menerbitkan lebih 60 artikel dalam jurnal tempatan dan antarabangsa serta sejumlah kertas kerja dalam prosiding persidangan. Beliau juga telah menulis empat buah buku, yang mana sebuah daripadanya 'Sains Rumpai' terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka digunakan sebagai buku teks di beberapa buah universiti tempatan. Di samping itu beliau juga menjadi editor lapan buah buku. Profesor Ismail juga kerap menulis rencana berkenaan alam sekitar dalam akhbar- akhbar tempatan. Profesor Ismail aktif dalam pengajaran dan telah menyelia beberapa penuntut siswazah dan lebih 60 penuntut prasiswazah.

No comments: