Tuesday, April 28, 2009

UMNO dapat kekuatan baru ???

KULIM - UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu dilihat mempunyai kekuatan baru apabila Ketua Bahagiannya, Datuk Abdul Aziz Syeikh Fadzir dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Pelantikan itu secara tidak langsung dilihat sebagai satu elemen penting yang dapat dijadikan medium interaksi yang baik, antara rakyat di parlimen ini dan kepimpinan tertinggi parti.

Abdul Aziz dalam satu sidang media di Hotel Seri Malaysia, semalam berkata, beliau amat berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana memberi peluang kepada beliau untuk berkhidmat sebagai ahli MT.

Menurutnya, pelantikan ini adalah satu amanah besar yang perlu dilaksanakan sebaik pihak kepimpinan tertinggi memberikan tanggungjawab dengan melantiknya memperkasakan parti itu.

“Saya tidak jangka akan dilantik tetapi bersyukur dengan pelantikan ini dan anggap ia sebagai satu amanah yang besar.

“Dengan pengalaman sebagai bekas Naib Ketua Gerakan Pemuda UMNO, ia diharap dapat digunakan dalam menghadapi masalah keyakinan rakyat yang dihadapi ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, dengan pelantikan itu, secara tidak langsung ia dapat digunakannya untuk membawa masalah dan isu di KBB secara terus ke peringkat atasan.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil (PRK) Penanti, beliau berkata, BN tidak perlu membuang masa meletakkan calon dan bertanding di kawasan itu.

“Saya kata begitu kerana UMNO tidak boleh benarkan sesiapa pun menyalahgunakan demokrasi yang mana PRK sepatutnya dilakukan bila perlu sahaja bukan untuk mengukur populariti sesebuah parti.

“Ini bukan masalah takut pada PKR atau BN tiada keyakinan tetapi satu langkah paling bijak adalah meletakkan rakyat sebagai agenda utama negara seperti yang diusulkan perdana menteri,” katanya.

1 comment:

Unknown said...

Tolong jaga kebajikan Kampung Sungai Kechil Ilir...selaku tiada bekalan air!!!